KOTA KINABALU: Perjumpaan 19 ‘datuk bandar’ dari selatan Filipina baru-baru ini adalah berkaitan usaha menjaga keselamatan dan rancangan mempertahankan kawasan itu daripada elemen yang menggugat keselamatan, bukan merancang plot baharu untuk menawan Sabah.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata berita palsu berkenaan telah dimanipulasi individu tertentu yang cemburu dengan keamanan dan keselamatan dikecapi negeri ini serta Malaysia keseluruhannya.
“Maklumat yang diterima sememangnya ada perjumpaan tetapi bukan untuk menyerang Sabah tetapi sebaliknya memperkukuhkan keselamatan mereka,” katanya mengulas dakwaan wujud plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang dan diusahakan ’19 Datuk Bandar’ di Selatan Filipina.
Berdasarkan maklumat, perbincangan yang diadakan itu juga memfokuskan kepada pembangunan di kawasan mereka dengan menjemput pelabur luar untuk masuk ke negara jiran berkenaan.
“Perbincangan itu juga dibuat bagi memperkukuhkan lagi sistem pertahanan mereka daripada sebarang ancaman seperti pengganas, perompak dan elemen jenayah lain.
“Tiada kena mengena dengan cubaan untuk menyerang Sabah atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyematan dan Serah Terima Tugas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hari ini.
Majlis serah terima tugas membabitkan bekas Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman yang bersara dan digantikan Deputi Komisioner (DCP) Hamzah Ahmad.
Hazani berkata, pihak keselamatan di negara ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan lain sentiasa bersiap sedia sepanjang masa untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Semalam, ‘South China Morning Post’ melaporkan wujudnya plot untuk menyerang Sabah dengan 600 pejuang membabitkan usaha dan persetujuan ’19 datuk bandar’ dari selatan Filipina.
Sementara itu, Hamzah berkata, ESSCOM kekal komited memikul amanah menjaga keselamatan perairan negeri ini.
“Insya-Allah saya akan jalankan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin khususnya di kawasan Pantai Timur. Kita juga akan terus bekerjasama dengan semua agensi terbabit dalam memastikan aspek keselamatan terus berjalan dengan baik,” katanya.
Sumber: Berita Harian