Pertimbang lanjut tempoh permohonan konstabel Orang Asli

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertimbangkan permintaan masyarakat Orang Asli supaya tempoh permohonan jawatan Konstabel polis Orang Asli dilanjutkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, beliau banyak menerima permintaan daripada Tok Batin untuk melanjutkan tempoh berkenaan kerana kebanyakan tinggal di kawasan pedalaman.

“Selain itu, ada yang sukar membuat permohonan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan mereka untuk merentas negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Food Bank Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di perkampungan Orang Asli Kampung Pian, Kuala Krau, hari ini.

Ismail berkata, sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) melaksanakan kempen menggalakkan penyertaan kaum Orang Asli menyertai PDRM.

Katanya, borang permohonan boleh didapati di semua Pejabat Kemajuan Orang Asli (PKOAD) negeri dan daerah yang dibuka mulai 6 Januari hingga 30 April depan.

Sementara, pada 14 Mei hingga 6 Jun, PDRM bersama JAKOA akan mengenal pasti calon dari kalangan Orang Asli berkelayakan untuk menjalani ujian pemeriksaan fizikal dan ujian lain secara terus di lokasi yang terbabit.

“Semua jawatan ditawarkan kepada anak-anak Orang Asli yang mempunyai kelulusan dan kelayakan ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan,” katanya.

Sumber: My Metro