Jerantut – Tanah seluas 1.2 hektar diberikan oleh kerajaan Pahang kepada penduduk negeri ini bagi tujuan dijadikan tapak kediaman dan pertanian.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selagi ada tanah milik kerajaan negeri berdekatan kampung, ia akan diberikan kepada penduduk untuk tujuan berkenaan kecuali tapak atau kawasan yang sudah dirancang untuk membina infrastruktur awam.
“Saya ingin memberikan jaminan secara dasarnya, tanah milik kerajaan yang masih ada hanya dikekalkan untuk penduduk dan generasi akan datang kecuali hutan simpan kekal yang menjadi kawasan tadahan air, habitat flora fauna dan kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan negeri bersedia menimbang setiap permohonan daripada penduduk setempat menerusi proses kelulusan yang mengambil sedikit masa sebelum diserahkan surat kelulusan hak milik,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis penyampaian surat kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) kepada 148 penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling, dekat sini, hari ini.
Katanya, penduduk yang membuat permohonan perlu bersabar kerana proses kelulusan mengambil masa di samping Pejabat Tanah Daerah dan Jabatan Perhutanan Negeri akan mengkaji dan meneliti bagi mengelakkan kawasan hutan simpan kekal.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan penduduk yang memperoleh hak milik STR supaya tidak menjual harta itu sebaliknya mengusahakan tanah berkenaan untuk membina kediaman dan menjana sumber pendapatan bagi perubahan taraf sosial keluarga.
“Kawasan yang baharu diperoleh juga antara manifestasi kerajaan untuk pembesaran kampung serta melestarikan kemakmuran serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, penerima tanah, Mohd Yusof Mat Si, 63, berkata, dia akan mengusaha tanah ini dan sedang memikirkan sama ada ingin menanam sawit atau getah.
Bagi, Aslam Mi Hamidi, 42, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonan tanah itu bagi membolehkan dia mengusahakan projek tanaman pertanian komersial.
Sumber: HARIAN METRO