KUANTAN – Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) mendakwa Projek Pembangunan Tanaman Kelapa Sawit seluas 402.33 hektar di Kampung Darat Air Hitam, Mukim Lepar di Pekan mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob, berkata pihaknya juga sudah menerima kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 29 Jun 2021.
Katanya, projek itu dibangunkan mengikut syarat yang ditetapkan JAS termasuk mengurangkan impak kesan hakisan dan kelodak kepada sungai.
“Setakat ini, kawasan seluas 200 hektar sudah ditanam kelapa sawit, manakala bakinya tanaman dijangka selesai pada hujung tahun ini.
“Kita jangkakan hasil tanaman ini akan bermula pada pertengahan 2026,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang menunggu laporan berkaitan sebuah projek penanaman sawit di Pahang, susulan dakwaan EIA bagi projek itu tidak dipamerkan secara terbuka.
Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa JAS membatalkan EIA bagi projek di Pekan itu selepas mendakwa ia tidak dipamerkan seperti yang dikehendaki garis panduan.
Zamri berkata, projek bernilai RM5 juta itu akan memberikan manfaatkan kepada lebih 70,000 ahli PASFA terutama meningkatkan taraf sosioekonomi.
Katanya, pihaknya sentiasa mengambil perhatian dan mematuhi arahan JAS dari semasa ke semasa supaya kejadian tidak diingini dan kesan buruk kepada alam sekitar tidak berlaku.
“Kita ada kelulusan dan bukan suka-suka bangun selepas mendapat kelulusan EIA baru kita membangunkan projek ini. Saya harap isu ini ditutup kerana apa yang dilaksanakan mengikut peraturan dan bukannya melanggar syarat ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, beliau mendakwa, sebanyak 40 hektar daripada 402.33 hektar tanah milik PASFA itu diceroboh dan pihaknya sudah membuat laporan polis.
– BERITA HARIAN