Perumahan Patuh Syariah Tangani Isu Permintaan Pemilikan Rumah Rakyat Terengganu – PITAS2030

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Perumahan Patuh Syariah menjadi salah satu mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) berikutan permintaan untuk memiliki rumah yang sangat tinggi daripada rakyat Terengganu iaitu dengan hampir 120 ribu permohonan.

Timbalan Pengarah CoE PITAS, Zulhimi Abd Rahman berkata idea pembinaan rumah patuh syariah bermula daripada peralihan Kerajaan Negeri pada 2018, sebuah bengkel diadakan Bersama SUK Perumahan dan beberapa ‘consultant’ bagi membincangkan berkenaan hala tuju Dasar Perumahan Baharu bagi Negeri Terengganu.

“Dari situ lah kita mula mencadangkan supaya kita perluaskan idea dari Kerajaan Negeri Kelantan yang perumahan patuh syariah daripada dua bilik kepada tiga bilik, dan polisi tersebut telah diambil Kerajaan Persekutuan dan hampir kesemua negeri menggunakan polisi yang sama dengan minimum untuk perumahan ialah tiga bilik”.

“Namun, ada beberapa kelemahan yang kita kenal pasti, dari situ lah kita perlu ada perincian patuh syariah dalam reka bentuk perumahan dan kita adakan satu bengkel khusus bagi perincikan bagaimana membina reka bentuk perumahan patuh syariah,” berliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Terengganu Strategic Integrity & Institute (TSIS), Kuala Terengganu.

Perumahan Patuh Syariah menekankan lima teras utama iaitu rumah sebagai tempat memuliakan tetamu, reka bentuk rumah yang melindungi aurat dan menjaga kehormatan penghuni, tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan diasingkan, reka bentuk bilik air yang sesuai untuk bersuci dan berwuduk dan rumah sebagai tempat ketenangan, keselesaan dan istirehat.

Menurut rekod, sebanyak 10 projek Perumahan Patuh Syariah telah pun dilaksanakan melibatkan 1,640 unit di seluruh daerah di Terengganu dan antara Rumah Patuh Syariah yang telah siap dibina adalah Rumah Mampu Milik (RMM) Mukim Tempinis Kerandang yang menjadi projek perintis rumah berciri mesra syariah pertama di Terengganu.

  • UNIT BERITA MANIS FM