Peruntukan Lebih RM200,000 Diperlukan Baiki Jalan Kampung Orang Asli

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Peruntukan lebih RM200,000 diperlukan bagi membaik pulih jalan yang menjadi penghubung utama ke kawasan penempatan Orang Asli di Pos Balar di sini yang sudah bertahun-tahun mengalami.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, sebanyak dua laluan di kawasan Pos Balar telah dikenal pasti mengalami kerosakan dan penduduk akan melakukan kerja-kerja membaiki jalan secara bergotong-royong.

Katanya, kos tersebut hanya melibatkan jalan sahaja dan tidak termasuk pembinaan jambatan.

“Sekiranya kita menunggu jalan perhubungan desa yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan mengambil masa yang agak lama. Buat masa ini, kita masih tidak mengetahui status sebenar pembinaan jalan itu.

“Jadi, penduduk akan membaiki segera dengan kaedah sapu jalan dahulu kerana kita tahu para penduduk sukar untuk keluar ke bandar Gua Musang dan melaksanakan aktiviti harian mereka kerana jalan yang rosak teruk,” katanya kepada pemberita di Pos Balar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Syahbuddin, pihaknya akan memulakan kerja membaiki jalan dua hala iaitu dari Pos Hau ke Pos Balar dan Pos Bihai ke Pos Balar dalam masa terdekat.

Katanya, dia memahami kesusahan masyarakat Orang Asli khususnya ketika musim tengkujuh yang perlu melalui jalan rosak dan berselut.

“Saya sudah melihat sendiri kerosakan jalan yang dihadapi oleh 4,000 penduduk Orang Asli dan juga para guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar dan SK Bihai di sini.

“Saya berharap perkara mendapat perhatian segera oleh pihak yang berwajib. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga berharap kerja pembaikian dapat dilakukan segera kerana musim tengkujuh akan tiba,” katanya.

Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di 13 buah kampung di Pos Balar di sini merayu pihak kerajaan menaik taraf jalan perhubungan kampung mereka.

Orang Asli berkenaan berdepan masalah kerosakan jalan balak yang teruk sejak lebih 50 tahun lalu sehingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mereka.

Sumber : KOSMO! ONLINE