Peruntukan RM38 juta bagi pembikin filem skala kecil

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Datuk Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyediakan RM38 juta bagi peruntukan Kumpulan Wang COVID-19 di bawah Geran Dana Kandungan Digital (DKD) bagi membantu pembikin filem berskala kecil mengetengahkan bakat dan karya dalam platform over-the-top (OTT) seperti Netflix.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, antaranya Dana Mikro berjumlah RM8 juta disediakan untuk penggiat filem dalam penghasilan karya melalui pembangunan kandungan kreatif ketika tempoh fasa pemulihan ekonomi akibat COVID-19.

“Penggiat industri profesional dan baharu termasuk Sabah dan Sarawak boleh memohon bagi kategori Dana Mikro untuk projek baharu yang sedia ada bagi tayangan platform digital dengan maksimum pembiayaan sebanyak RM15,000.

“Mereka juga boleh memohon kategori Dana Mikro Pembangunan Skrip dengan maksimum pembayaran sebanyak RM15,000,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk A Kesavadas yang mahu tahu inisiatif kementerian itu menerusi FINAS dalam mengenal pasti pembikin filem berskala kecil bagi mengetengahkan bakat dan karya untuk dipersembahkan dalam platform digital seperti Netflix.

Zahidi berkata, Dana Program TV/OTT yang bekerjasama dengan Media Prima Berhad bertujuan meningkatkan kandungan kreatif tempatan dan tontonan melalui platform penyiar OTT Tonton Cinema serta menjana semula ekonomi industri kandungan kreatif dalam jangka masa pendek melalui kerjasama bersama penyiar tempatan.

“Sejumlah RM10 juta diperuntukkan untuk dana ini, menyasarkan syarikat produksi tempatan yang terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber: Berita Harian