Pesakit Tibi Tulang Menanti Pembedahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA KRAI – Masalah sakit pinggang berpanjangan yang dihadapi Mohd Ikman Hisham Mat Nor, 40, lebih setahun lalu rupa-rupanya simptom kepada penyakit tibi tulang.

Mohd Ikman Hisham berkata, penyakit itu dikesan pada November tahun lalu selepas beberapa sesi rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.

Sebelum itu, bapa kepada empat anak berusia dua hingga 15 tahun dimasukkan ke wad selama dua minggu akibat sakit berpanjangan.

“Doktor memaklumkan terdapat nanah berkumpul di bahagian tulang belakang yang membengkok menyebabkan saya berasa sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Krai di sini.

Jelas Mohd Ikman Hisham, keadaan itu membataskan pergerakannya untuk melakukan kerja-kerja berat.

Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai tukang rumah dengan upah RM55 sehari terpaksa keluar bekerja demi mencari rezeki untuk anak-anak yang masih kecil.

Mohd Ikman Hisham memberitahu, dia kini sedang menanti untuk pembedahan selepas doktor pakar mencadangkan rawatan itu bagi membuang nanah.

Katanya, selepas disahkan penyakit berkenaan, dia terpaksa berulang-alik ke hospital berkenaan untuk rawatan susulan.

Dia memberitahu, isterinya Noor Suhailam Mohad, 34, tidak dapat bekerja kerana anak-anak masih kecil dan memerlukan perhatian.

“Isteri juga perlu menjaga ibu saya, Zawiah Mat Junoh, 64, yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan asma sekali gus menyukarkannya untuk keluar mencari kerja.

“Ada masanya kami terpaksa berjimat berbelanja kerana anak-anak masih bersekolah. Mujur ada badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menghulurkan bantuan ketika kami dalam kesempitan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ikman Hisham ada memohon wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kini masih menanti keputusan berkenaan.

Sebelum itu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Islam 03072021134242 atas nama Mohd Ikman Hisham atau menghubungi nombor telefon 0142982619.

– SINAR HARIAN