Pesara tentera lemas, budak lelaki selamat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kanak-kanak yang terselamat. -FOTO ihsan pembaca

Seorang pesara tentera ditemukan lemas, manakala seorang kanak-kanak lelaki ditemukan selamat awal pagi tadi, selepas mereka dihanyutkan ombak kejadian di Pulau Kambing berdekatan Pantai Kandis di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mangsa yang maut, Juhairohafizan Juhari, 35, ditemui pada 2.50 pagi.

Katanya, lelaki yang Kampung Gong Chengal, Jelawat, itu ditemui pada jarak 50 meter dari tempat kejadian.

“Seorang lagi mangsa, Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, dari Kampung Aman, Jalan Tok Bali ditemukan selamat pada 11 malam dalam jarak 300 meter dari lokasi kejadian oleh nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat, manakala mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pesara tentera berkenaan dan seorang lagi lelaki yang ditemukan lemas semalam cuba membantu kanak-kanak berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak yang sebelum ini terselamat.

“Namun, dua mangsa yang cuba menyelamatkan dua kanak-kanak itu, lemas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, operasi berkenaan ditamatkan 3.32 pagi tadi selepas kesemua mangsa ditemui.

SUMBER : Harian Metro