Pesawah Belum Terima Kenaikan Subsidi Padi, Paling Awal Hujung Bulan Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR – Pesawah di Kedah dan Perlis masih belum menikmati kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kerana musim menuai padi dijangka bermula paling awal pada hujung bulan ini.

Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) , Che Ani Mat Zain, berkata ini kerana kebanyakan kawasan sawah di dua negeri terbabit baru saja memulakan musim tanaman baharu kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, setiap musim tanaman memerlukan masa sekurang-kurangnya empat bulan bagi membolehkan benih padi membesar dan mengeluarkan butir padi sebelum kerja menuai dapat dimulakan.

“Setakat hari ini, memang tidak ada petani terima subsidi yang diumumkan Perdana Menteri semalam, kerana sekarang bukan musim memotong dan menjual padi, paling awal mungkin hujung bulan ini.

“Kawasan MADA ada tiga wilayah, wilayah satu kebanyakannya di Perlis yang paling awal mula menanam, jadi mungkin mereka paling awal dapat merasa kenaikan subsidi daripada RM360 bagi setiap tan menjadi RM500 itu,” katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar SSHP daripada RM360 bagi setiap tan kepada RM500 berkuat kuasa hari ini, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 66,000 pesawah di dalam dan luar kawasan tanaman MADA.

Mengulas lanjut, Che Ani berkata, berdasarkan harga jualan RM1,200 bagi setiap tan pada musim lalu, ditambah kenaikan SSHP sebanyak RM500, pesawah bakal menikmati harga jualan baharu kira-kira RM1,700 bagi setiap tan pada musim menuai akan datang.

Katanya, nilai itu sememangnya mampu mengurangkan beban pesawah yang terkesan akibat kenaikan pelbagai kos input pertanian, namun ia dianggap masih sukar bagi membasmi masalah kemiskinan dalam kalangan penduduk.

“Mengikut kebiasaan, bayaran SSHP akan dikreditkan terus ke akaun bank pesawah mengikut jumlah hasil padi yang direkodkan ketika jualan padi dibuat di kilang. Untuk memastikan ada keuntungan, pesawah perlu dapat hasil sekurang-kurangnya dua tan bagi mendapatkan bayaran RM3,400.

“Ini kerana kos pengurusan sawah seperti bayaran sewa jentera, lori, baja, upah pekerja dan lain-lain bagi satu relong (0.3 hektar) adalah kira-kira RM1,600.

“Selain itu, hasil padi juga tidak menentu jika berlaku serangan haiwan atau padi rosak,” katanya.

– BERITA HARIAN