Pesawah di Pantai Timur Terima Bantuan RM10 Juta BERNAS 16 Januari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan menerima Bantuan Khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi 2022 berjumlah RM10 juta yang akan disalurkan selewat-lewatnya 16 Januari ini.

Mereka menjadi kumpulan pertama menerima bantuan berkenaan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan ini, berkata kerajaan mengarahkan BERNAS menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, berkata MAFS dan agensi di bawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar.

“Seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan BERNAS berjumlah RM250 bagi setiap pesawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pesawah di negeri lain akan menerima baki bantuan khas BERNAS berjumlah RM50 juta yang akan disalurkan secara berperingkat.

Pada awal Disember, media melaporkan, Kerajaan Persekutuan mengarahkan BERNAS menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah dan bukan bertujuan merobohkan empayar perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Katanya, langkah yang diambil Kementerian Kewangan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian dan Syed Mokhtar sendiri bersetuju selepas rundingan diadakan dan persetujuan itu dicapai susulan teguran beliau berhubung permasalahan monopoli import beras di negara ini.

Isu monopoli BERNAS dibincangkan pada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pertama pada 5 Disember lalu selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 dengan kerajaan berpandangan BERNAS perlu mengambil tanggungjawab pembangunan sosioekonomi lebih besar dan berkesan pada masa depan.

Perdana Menteri kemudian memaklumkan, BERNAS bersedia menyumbang RM10 juta tahun ini dan RM50 juta tahun depan untuk petani miskin dan kerajaan akan meneliti keuntungan syarikat itu sebelum membuat keputusan selanjutnya.

Pada akhir 2020, kerajaan menyambung konsesi BERNAS sebagai pengimport dan pengedar tunggal beras negara buat kali ketiga selama 10 tahun mulai 11 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2031 dengan terma perjanjian dikemas kini serta penambahan tanggungjawab sosial untuk syarikat terbabit.

BERNAS ditubuhkan bagi menggantikan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1996 dengan tanggungjawab memastikan keterjaminan bekalan beras negara yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia.

Sumber: BERITA HARIAN