Pesawat Terhempas Di Elmina: Pemandu E-Hailing Tidak Bawa Penumpang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Pemandu e-hailing yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Seksyen U16 di sini tidak membawa sebarang penumpang semasa kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid mengesahkan maklumat itu diperoleh selepas semakan dibuat dengan penyedia khidmatan e-hailing tersebut.

“Semasa kejadian kita mendapati dia (pemandu e-hailing) sudah berhenti daripada mengambil tempahan baharu daripada penumpang sejak jam 2 petang,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi nahas pesawat peribadi, di sini, pada Jumaat.

Beliau menyatakan demikian berikutan timbul persoalan sama ada terdapat penumpang dalam kenderaan e-hailing yang terbabit dalam nahas tersebut.

Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.

– SINAR HARIAN