TEMERLOH : Terharu dan bersyukur. Hanya itu mampu diluahkan oleh 332 orang peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) di bawah Dewan Negeri (DN) Mentakab melibatkan 233 orang dari RTK Bukit Kuin dan 99 orang dari RTK Mambang Berulang selepas menerima geran tanah masing-masing baru-baru ini.
Seorang peserta, Zaharah Ali, 52, dari Kampung Tanjung Kerayong menzahirkan rasa syukur dengan pemberian geran tanah yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang.
“Saya berbesar hati kerana dapat bertemu Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang sudi menyampaikan geran tanah kepada kami. Saya belum ada plan nak buat apa tapi kemungkinan tanah dusun yang diterima akan ditanam dengan pokok buah-buahan,” katanya.
Sementara itu, bagi Mohd Latif Ali, 62, penantian lebih 10 tahun untuk memiliki tanah akhirnya tercapai selepas menerima geran secara sah.
“Sudah pasti saya gembira dan bersyukur dengan pemberian tanah ini selepas lama menanti lama untuk mengusahakan sesuatu bagi menampung kehidupan dengan lebih baik.
“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana memberi geran kepada kami sekaligus menyediakan ruang kehidupan yang lebih baik melalui tanah yang boleh diusahakan untuk memperbaiki status ekonomi kami,” katanya.
Rasa penghargaan turut dizahirkan Sabariah Mat Rashid, 63, yang gembira kerana akhirnya tanah dusun menjadi miliknya untuk diusahakan.
“Sememangnya kami bersyukur kerana penantian telah berakhir.. kami dapat tanam pokok secara sah di atas tanah sendiri dan menjana pendapatan melalui tanaman yang diusahakan.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang yang peka dengan keperluan rakyat dan sentiasa berusaha untuk membantu kami dan keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA