Peserta RXZ Members 6.0 Rugi RM350 Diperdaya Scammer Inap Desa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Seorang peserta himpunan RXZ Members 6.0 dari Maran, Pahang berputih mata apabila menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ inap desa dalam kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan menyedari ditipu apabila pemilik rumah berkenaan menafikan ada menawarkan penginapan inap desa.

Menurutnya, mangsa sebelum itu melihat iklan mengenai inap desa yang ditawarkan di daerah ini melalui media sosial Facebook pada Jumaat.

“Akibat terpedaya mangsa telah buat bayaran RM350 melalui transaksi pindahan wang ke dalam akaun yang diarahkan sekitar jam 8.43 malam pada Sabtu.

“Selepas itu, mangsa telah pergi ke alamat lokasi yang diberikan dan mendapati pemilik rumah berkenaan menafikan ada menawarkan homestay menyebabkan mangsa berasa ditipu,” katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa telah tampil membuat laporan di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu jam 12.27 tengah malam hari yang sama.

“Pihak polis sedang menyiasat kes ini dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

– SINAR HARIAN