Pesta timba ikan darat gamit nostalgia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Pesta menimba ikan ‘darat’ yang diadakan sempena Hari Ladang Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) peringkat jajahan Pasir Puteh di bendang Tok Ajam di sini pada Sabtu menggamit nostalgia apabila mendapat sambutan penduduk terutama golongan muda.

Pesta tersebut bertujuan menghidupkan semula tradisi yang cukup sinonim dengan rakyat Kelantan setiap kali tibanya musim kemarau.

Selain menangkap ikan, acara tradisi itu turut mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti bergotong-royong ketika menimba ikan.

Antara ikan yang ditangkap menerusi aktiviti itu ialah ikan keli, sepat, haruan dan banyak lagi.

Seorang peserta, Mohd Alif Azwan Azmi, 17, berkata, dia cukup teruja dapat mengikuti program tersebut yang disifatkan sebagai pengalaman baharu buat dirinya.

Mohd Alif Azwan (kiri) menunjukkan ikan haruan yang berjaya ditangkapnya.
“Walaupun penat dan kotor, namun saya gembira dapat menjayakan program ini bersama rakan-rakan,” katanya.

Menurutnya, sebagai generasi muda dia mahu aktiviti menimba ikan terus disuburkan bagi memastikan ia tidak luput ditelan zaman.

Mohd Alif Azwan berkata, program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara penduduk malah dapat memupuk kecintaan terhadap warisan rakyat Kelantan.

Katanya, aktiviti menimba ikan boleh dijadikan sebagai produk pelancongan di negeri ini.

Sumber: Sinar Harian