Petugas Bersengkang Mata Agih Bekalan Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Sukarelawan dan petugas yang membantu agihan bekalan air di sekitar Kuala Nerus bersengkang mata bagi memastikan keperluan penduduk terjejas sentiasa dipenuhi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishammuddin Abdul Karim berkata, proses agihan bekalan air lazimnya berlarutan sehingga jam dua hingga tiga pagi berikutan keadaan tenaga kerja dan jentera yang terhad.

“Agihan biasanya lebih rancak pada waktu malam dan ramai penduduk yang ambil inisiatif membantu sehingga kadang-kadang sampai jam empat pagi.

“Tepoh adalah kawasan yang paling banyak terjejas dengan lebih 10 ribu akaun pengguna dan tentu sekali kita merasai beban ini.

“Sekarang kita ada 10 kenderaan pacuan empat roda dan lapan lori tetapi tetapi masih tak cukup, lebih-lebih lagi sebahagian jentera ini juga ‘on-off’ kerana halangan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pusat agihan bekalan air Padang Air, semalam.

Bagaimanapun, jelasnya situasi itu perlu dihadapi dalam memastikan bekalan air sampai kepada pengguna.

“Lazimnya dalam tempoh tiga hari proses agihan masih belum stabil, semasa krisis pertama tempoh hari kami mengambil masa lima hari juga untuk stabil.

“Krisis air berbeza dengan banjir dan bencana lain. Kalau dalam DUN Tepoh ini hanya tiga penempatan tidak terlibat iaitu Kg Tok Jiring, kampung Padang Air dan sebahagian Felda Belara.

Apabila seluruh kawasan terjejas, pemusatan tenaga tak sama dengan banjir, ia memerlukan tenaga yang ramai dan apabila tak ramai, sangat sukar untuk kita bergerak,” katanya.

Tambahnya, proses agihan bekalan air di sekitar Kuala Nerus akan menerima sokongan tenaga kerja pada hari ini (Jumaat) dengan pertambahan lori tangki.

Sumber: TRDI News