Petugas Media Maut Nahas Motosikal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jurukamera agensi berita, Channel News Asia (CNA), Khairul Azman Zainuddin maut dalam nahas motosikal di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian jam 12 tengah hari itu ketika Khairul Azman, 45, dalam perjalanan menuju Kuala Lumpur.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum tercampak ke laluan bertentangan. Mangsa juga dilanggar sebuah motosikal di laluan itu ditunggang lelaki berusia 46 tahun yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal cedera ringan dan dirawat di Hospital Bentong.

Beliau berkata, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-2222 222.

– BERNAMA