Pharmaniaga Sudah Sedia Edar Vaksin Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pharmaniaga Bhd telah menubuhkan satu pasukan petugas dan melakukan persiapan sewajarnya bagi pengedaran vaksin Covid-19 yang dijangka disediakan pada akhir suku pertama tahun depan.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, usaha tersebut juga susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai langkah kerajaan memeterai perjanjian bagi pembelian vaksin Covid-19 Pfizer untuk 6.4 juta rakyat negara ini.

Pengumuman tersebut juga telah membuka laluan untuk kerajaan mewujudkan lebih banyak usaha sedemikian dengan pengeluar lain.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, teras kecekapan syarikat itu adalah aspek perkhidmatan logistik gred-farmaseutikal serta kemudahan kilang pengeluaran ubat-ubatan halal yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Menurutnya, anak syarikat milik penuh, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam bidang logistik dan pengedaran seperti keperluan suhu konsisten -20 darjah celsius dan 2 hingga 8 darjah celsius.

Sehubungan itu, ia akan memberi keutamaan kepada pematuhan ketetapan suhu vaksin Covid-19 demi memastikan tahap kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang berterusan.

“Usaha pengangkutan vaksin ini bukannya seperti ubat-ubatan lain kerana sebarang masalah seperti kegagalan mematuhi keperluan suhu yang ditetapkan boleh menjejaskan keberkesanannya. Bagi menanganinya serta cabaran penghantaran ke kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak, Pharmaniaga telah bertindak menyempurnakan medium pengangkutan serta proses yang mematuhi ketetapan Amalan Pengedaran Baik (AEB).

“Setiap kotak akan diletakkan bersama peranti pemantauan suhu yang membolehkan pelanggan mengesahkan pematuhan berkaitan. Selain itu, setiap kenderaan yang digunakan turut dilengkapi dengan kemudahan internet pelbagai benda bagi membolehkan kami memantau pergerakannya, masa tiba serta suhu.

“Kami juga mendapati vaksin Pfizer memerlukan suhu ultra sejuk -70 darjah Celsius. Oleh itu, picagari yang siap diisi itu akan diletakkan dalam bekas terma berisi ais kering untuk mengekalkan suhu tersebut,” katanya.

Zulkarnain berkata, kemudahan gudang sedia ada Pharmaniaga di Bukit Raja Shah Alam, Juru, Kota Kinabalu dan Kuching juga telah dilengkapi dengan kemudahan rantaian sejuk serta sistem pemantauan persekitaran dan tenaga sokongan bagi memastikan vaksin itu selamat untuk digunakan.

Kesemua gudang berkenaan telah mendapat lesen Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan selain sentiasa ditambah baik.

“Kami juga mengambil maklum terhadap kemungkinan stor-stor hospital berdepan kesukaran besar jika menerima vaksin yang jauh melebihi kapasiti simpanan sedia ada. Atas alasan ini, Pharmaniaga sedang meneliti sistem penghantaran bersesuaian bagi memastikan proses vaksinasi itu dapat dijalankan secara lancar, teratur selain menambah stok,” katanya. – Bernama