LONDON: Piala Asia patut diadakan kembali pada bulan Jun dan dimainkan ketika slot sama dengan Euro, kata pertahanan Arsenal dan Jepun, Takehiro Tomiyasu menjelang kejohanan sebenua di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari ini.
Tiga edisi terakhir kejohanan itu diadakan pada Januari dan Februari, membuka peluang kepada tuan rumah dari negara Timur Tengah yang mana musim panas sering kali mencecah 50 darjah Celsius, suhu yang dianggap berbahaya bagi permainan bola sepak.
Arsenal mungkin beraksi tanpa Tomiyasu sebanyak enam perlawanan, termasuk empat perlawanan Liga Perdana Inggeris, jika Jepun layak ke final di Qatar.
“Saya mahu Piala Asia dianjurkan pada bulan Jun, sama seperti Euro,” kata Tomiyasu kepada akhbar Evening Standard dalam satu wawancara yang disiarkan semalam.
“Saya tidak tahu kenapa kami bermain pada Januari – bukan hanya Piala Asia tetapi juga Piala Negara-Negara Afrika. Ia tidak bagus buat pemain. Tetapi kami terpaksa menerimanya dan saya akan cuba membawa pulang trofi kejuaraan.”
Jepun, yang membida untuk melebarkan rekod kejuaraan kali kelima pada Piala Asia, memulakan kempen mereka pada 14 Januari ini menentang Vietnam, sebelum berdepan Iraq dan Indonesia dalam Kumpulan D. – REUTERS