Piala Dunia: Tuan rumah Qatar tersingkir selepas dua perlawanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DOHA: Qatar memahat sejarah sebagai tuan rumah pertama tersingkir dari Piala Dunia hanya selepas dua perlawanan yang keputusan seri 1-1 Ecuador dengan Belanda melenyapkan impian pasukan itu hanya beberapa jam selepas tewas 1-3 kepada Senegal.

Pengurus pasukan Qatar, Felix Sanchez, menyatakan bahawa beliau melihat penyingkiran awal Qatar di Piala Dunia tidak akan menjejaskan pembangunan bola sepak di negara itu dan percaya bola sepak akan terus membangun di Qatar.

Jelas Sanchez lagi, walaupun berdepan kekecewaan, Qatar akan tetap menyasarkan untuk kembali ke kejohanan terbesar dunia itu.

“Piala Dunia akan tamat tetapi bola sepak akan terus di sini (Qatar). Ia negara bola sepak dan mereka mahu memajukan bakat muda sebelum diserap ke skuad senior. Kami boleh terus menyaingi dengan pasukan lain di Asia.

“Dengan itu, kami akan mendapat lebih pengalaman dan beraksi dalam banyak kejohanan seperti ini,” katanya yang pernah membawa Qatar menjulang Piala Asia 2019.

Qatar muncul pasukan tuan rumah kedua tersingkir di pusingan pertama selepas Afrika Selatan pada 2010 dan yang pertama tersingkir hanya selepas dua perlawanan.

Qatar melengkapkan jadual kumpulan dengan Belanda, Selasa ini dan bagi Sanchez ia peluang untuk pemainnya menimba pengalaman menentang pasukan hebat Eropah. 

Sumber: UTUSAN