PETALING JAYA – Apa yang dinantikan penyokong sudah tiba selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan video bantuan pengadil (VAR) akan mewarnai saingan liga tempatan musim depan.
Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Yusoff berkata FAM kini dalam proses penelitian dan perbincangan untuk menggunakan VAR bagi aksi Piala FA dan Piala Malaysia 2023.
“EXCO bersetuju untuk mengadakan penggunaan VAR dalam Piala FA dan Piala Malaysia, namun bukan dalam aksi liga. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, ia (penggunaan VAR) bergantung pada Jawatankuasa Teknikal untuk melihat sama ada dapat mencapai sasaran untuk digunakan pada 2023,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Datuk S Sivasundram berkata pihaknya sedang meneliti kesesuaian dan kewajaran mengenai peringkat pertandingan bagi menggunakan teknologi terbabit.
Selain itu, beliau turut mengesahkan pengadil tempatan akan dihantar menjalani kursus sebagai persiapan untuk mengendalikan VAR pada musim depan.
“Kita perlu kaji dengan lebih mendalam. Mungkin ia akan digunakan bermula pada peringkat suku akhir dan seterusnya, atau mungkin juga daripada peringkat kumpulan.
“Kita perlu adakan mesyuarat dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengendali liga tetapi kita memang menuju ke arah itu (penggunaan VAR).
“Pengadil kita pun akan menjalani kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan. Kita juga berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan tenaga pengajar,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN