Pihak Berkuasa Israel Merobohkan Tangga Yang Menuju Ke Masjid Al-Aqsa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Rajah 1: Pasukan Israel merobohkan tangga bersejarah yang menuju ke Gerbang Singa Masjid Al-Aqsa. (Foto: melalui Media Sosial)

Pihak perbandaran Israel telah merobohkan tangga bersejarah yang menuju ke Gerbang Singa Masjid Al-Aqsa (Bab Al-Asbat) dan Kota Lama Jerusalem. Menurut Anadolu Agency perobohan ini bagi memberi ruang kepada mesin dan alat yang lebih besar diletakkan bagi pembinaan saluran kereta kabel yang sedang dijalankan. Pembinaan kereta kabel ini akan digunakan oleh warga Israel dan pelancong yang laluannya menuju ke Gunung Zaitun dan akan menghadap ke Masjid al-Aqsa.

Rajah 2: Bab Al’Asbat (Gerbang Singa)

Ketua Jawatankuasa Pemeliharaan Tanah Perkuburan Islam di Baitulmuqaddis, Mustafa Abu Zahra mengatakan bahawa pasukan Perbandaran Jerusalem, terus datang dengan menaiki jentolak lalu menyerbu ke kawasan Bab Al-Asbat dan merobohkan tangga yang menuju ke perkuburan Yusufia.

Menurut Abu Zahra pula, perobohan itu adalah sebahagian dari rancangan pihak berkuasa Israel untuk mendirikan taman yang luas di dalam tanah perkuburan yang mempunyai makam askar yang jasadnya tidak diketahui, serta banyak kubur lama dan baru. Tanah perkuburan tersebut dianggarkan bersaiz 4,000 meter persegi.

Abu Zahra meminta semua warga Jerusalem untuk bersatu padu melindungi mercu tanda Jerusalem dari penindasan penjajahan Israel”.

Pihak pembandaran Jerusalem tidak memberi komen mengenai pembongkaran tersebut.