Pinjamkan 10 Bot Untuk Misi Bantu Mangsa Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Kesusahan dialami mangsa banjir yang terperangkap sehingga terpaksa menggunakan pelbagai cara menyelamatkan diri membuatkan seorang pekerja swasta nekad meminjamkan 10 bot miliknya.

Zainuren Kalil, 51, tidak teragak-agak meminjamkan kesemua botnya kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mahu melakukan misi membantu mangsa yang terkesan akibat bencana alam itu.

Menurut Zainuren atau mesra disapa Pok Ren, hatinya tersentuh dan sayu melihat kejadian banjir yang berlaku di beberapa negeri apatah lagi melihat ada yang terperangkap sehingga terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menyelamatkan diri.

Katanya, situasi itu membuatkan dia bersama keluarga nekad meminjamkan 10 bot yang setiap satunya dibelinya dengan harga RM1,000 kepada NGO dan individu untuk memudahkan kerja menyelamat.

“Sebenarnya bot ini dibeli awal tahun lalu untuk disewa kepada pemancing namun ia ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19 dan keadaan cuaca semasa.

“Daripada ia dibiarkan tersadai begitu sahaja lebih baik ia digunakan dan ini sahaja yang mampu saya lakukan untuk membantu mereka yang terjejas.

“Saya kasihan melihat keadaan mereka di sana yang menggunakan pelbagai cara untuk menyelamatkan diri sehinggga ada yang menggunakan tong polisterin dan tong ikan untuk bawa mangsa-mangsa banjir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Paka di sini, semalam.

Pok Ren berkata, dia memuat naik mengenai kesediaannya untuk meminjamkan bot itu di Facebook pada Sabtu lalu.

Katanya, setakat ini, sebanyak tujuh bot sudah dipinjamkan untuk kerja menyelamat di Pahang dan Selangor.

“Ini sahaja yang boleh saya dan keluarga lakukan untuk meringankan beban mereka dan jika bot ini rosak, saya reda kerana niat saya hanya untuk membantu,” katanya.

Sumber: Berita Harian