KOTA BHARU: Menerapkan ketelitian sebagai keutamaan dalam pembinaan Masjid Imanul Fa’izin, atau dikenali sebagai Masjid Andalusia di Jalan Pasir Puteh, Kampung Padang Kala, pintu gerbang sahaja telah diubah suai sebanyak 21 kali untuk mendapatkan reka bentuk yang tepat.
Berinspirasikan daripada Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pemilik masjid iaitu Ibrahim Mat Sin berkata reka bentuk setiap binaan kubah, tiang, mahupun pintu gerbang sangat dititikberatkan agar ia menyamai masjid tersebut.
Ibrahim yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. berkata, bimbingan dan pemantauan mengenai perkembangan masjid itu diperiksa setiap hari. Setelah merasakan reka bentuk pintu gerbang tersebut hampir tepat barulah beliau bersedia membuka masjid itu kepada orang ramai.
Masjid Imanul Fa’izin dibuka pada hari pertama Ramadan bagi mengambil keberkatan bulan suci itu sekali gus mencatatkan hampir 2,000 jemaah hadir menunaikan solat tarawih pertama di masjid berkenaan.
Antara keistimewaan masjid ini selain pintu gerbangnya yang gah, terdapat juga lebih 100 kubah besar dan kecil berwarna putih yang ditempah khas dari Indonesia, marmar pada lantai dan dinding pula dibeli dari Turkiye, Mesir dan Oman, serta karpet menyerupai karpet Raudhah di Masjid Nabawi.
Biarpun menelan perbelanjaan lebih RM7 juta, beliau bersyukur pembinaan masjidnya dapat direalisasikan hasil pengalaman beliau menziarahi banyak masjid luar negara termasuk masjid dimiliki Sultan Qabus Oman dan Masjid Biru di Turkiye yang terkenal.
-Bernama