PUTRAJAYA – Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) bakal diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap selain dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf masa hadapan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu bagi memastikan peranan wakaf dapat terus diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara serta diharap akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat, tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan.
“Oleh itu, saya berharap agar penglibatan semua pihak sama ada masyarakat, agensi kerajaan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dapat dioptimumkan demi memperkasakan peranan wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan 2021 anjuran Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan bulan Ramadan dijadikan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan bagi memastikan tumpuan khusus masyarakat dapat diberikan terhadap kehebatan wakaf.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mahu tabungan dana wakaf ditingkatkan bagi membolehkan banyak lagi aset wakaf diwujudkan selain memastikan wakaf berperanan sebagai salah satu elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua jabatan serta agensi di peringkat persekutuan perlu merangka inisiatif untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan di bawah tanggungjawabnya berwakaf secara tunai terutamanya menerusi potongan gaji secara berkala.
Muhyiddin memaklumkan bahawa, untuk tujuan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali telahpun meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri melalui kod 4474.
Sumber: Kosmo Online