PKP 3.0 punca harga sayur meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mengakui sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan kerajaan sejak awal bulan lalu, punca kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran.

Katanya, sekatan itu menyebabkan pergerakan lori mengambil sayur di pusat pengeluaran utama hasil negara itu di Cameron Highlands terbatas, ditambah dengan prosedur operasi standard (SOP) pekerja ladang turut diperketatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimanapun sudah memberi kelonggaran dan tidak mengehadkan pergerakan lori, terutama berkaitan rantaian industri makanan selepas perbincangan diadakan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Hasil perbincangan itu, MKN turut melonggarkan SOP dan membenarkan pekerja ladang hadir di tempat kerja sehingga 60 peratus,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Kampung Tengkawang, di sini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata kementeriannya tidak boleh mengambil tindakan jika berlaku kenaikan harga atas sebab kekurangan pekerja di kebun dan penguatkuasaan PKP.

“Kementerian hanya boleh mengambil tindakan ke atas peniaga dan pemborong jika berlaku kenaikan harga secara berlebihan.

“Sebagai contoh, jika sebelum PKP 3.0 harga cili hanya RM6 sekilogram, tetapi dinaikkan sehingga RM12 sekilogram selepas PKP, maka kita tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,”katanya.

Sumber: Berita Harian