PKPB: ‘Lorong Khas’ SJR akan dibuka semula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Laluan khas untuk petugas barisan hadapan dan perkhidmatan penting akan diwujudkan semula di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) tertentu bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Objektifnya masih sama dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, iaitu memberi keutamaan pada petugas di sektor penting.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata laluan berkenaan akan dibuka di lokasi tertentu yang mencatatkan jumlah kenderaan yang tinggi.

“Laluan berkenaan tetap dikhaskan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, kenderaan perdagangan seperti lori serta pihak media. Laluan ini sedikit sebanyak mampu melancarkan pergerakan petugas barisan hadapan untuk bergerak dari satu ke satu lokasi lain semasa melalui SJR”

Acryl Sani juga berkata pihaknya turut memberi perhatian Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap pegawai dan anggotanya yang bertugas di lapangan bagi memastikan keselamatan diri mereka tetap terjamin daripada pandemik COVID-19.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata PKPB kini diperluaskan ke tujuh lagi negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan selama empat minggu, bermula Isnin (9 November) hingga 6 Disember ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPB itu dibuat selepas berlakunya peningkatan kes COVID-19 di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu. PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah turut disambung hingga 6 Disember ini. – BERITAHARIAN