PKPD 13 kampung di Sarawak, Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 perkampungan di Sarawak dan Terengganu bermula 20 Mei sehingga 2 Jun ini.

Ia membabitkan Rumah Panjang Wun Ak Ering dan Sekolah Kebangsaan Bakerkong, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak serta di Mukim Pelagat, Besut, Terengganu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi dua kawasan di Mukah, sebanyak lima kes positif direkodkan dalam tempoh empat hari hasil ujian saringan bergejala dan kontak rapat kes positif.

“Manakala bagi Mukim Pelagat, Besut pula sebanyak 199 kes positif Covid-19 direkodkan di semua lokaliti berkenaan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan.

“13 kampung yang terbabit di mukim berkenaan ialah Kampung Alor Selinsing, Kampung Bukit Yong, Kampung Tok Motong, Kampung Lak Lok Dalam, Kampung Lak Lok, Kampung Padang Landak, Kampung Padang Luas, Kampung Padang Luas Hilir dan Kampung Padang Tapong.

“Turut terbabit ialah Kampung Paroh, Kampung Kubang Siam, Kampung Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 & 3,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Ismail Sabri berkata, seramai 514 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 503 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memakai pelitup muka (147); gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (127); tiada penjarakan fizikal (62); membawa penumpang berlebihan (13) dan lain-lain kesalahan (165).

“Seramai 4,216 Pasukan Pematuhan membabitkan 15,631 anggota membuat pemantauan di 4,135 pasaraya, restoran (4,924), kilang (2,204), bank (3,977), pejabat kerajaan (927) dan penjaja (2,135).

“Turut dipantau ialah pasar awam atau tani (1,892), tempat ibadah (3,233), tempat riadah (1,582), terminal pengangkutan darat (1,765), terminal pengangkutan air (299) dan terminal pengangkutan udara (108),” katanya.

Sumber: My Metro