PKPD 3 lokaliti di Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah bermula 2 Julai hingga 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Penjara Jelebu kecuali Blok Muhasabah yang menempatkan Pusat Tahanan dan Penerimaan (PTP) dan kuarters kakitangan di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Selain itu, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Pangkal Jetas, Machang di Kelantan dan Taman Public, Kota Kinabalu di Sabah.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di ketiga-tiga lokaliti berkenaan menunjukkan peningkatan kes positif di semua kawasan terbabit.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung tindakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Ismail Sabri berkata, seramai 600 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 592 individu dikompaun, manakala lapan lagi direman.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (136); tiada penjarakan fizikal (125); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (104).

“Selain itu, tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70), membawa penumpang berlebihan (30), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (27),” katanya.

Menurutnya, pasukan khas pematuhan juga melakukan 96,975 pemeriksaan semalam membabitkan 4,598 pasukan yang terdiri daripada 21,026 anggota.

“Semalam, seramai 59 warga asing ujian saringan dan dua daripadanya didapati positif Covid-19.

“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 700,196 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 36,375 majikan,” katanya.

Sumber: My Metro