PKPD di 4 Felda di Pahang ditamatkan awal seminggu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol di Maran, Pahang ditamatkan awal seminggu kelmarin.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh penamatan PKPD di lokaliti berkenaan sepatutnya 15 Mac depan.

Namun katanya, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD itu lebih awal daripada dijadualkan.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia sudah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes dilaporkan yang membabitkan lokaliti itu.

“KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk dikenal pasti, disampel dan diasingkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu katanya, semalam seramai 442 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 430 dikompaun, 11 direman manakala satu lagi dijamin.

Katanya, kesalahan tertinggi direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), tiada penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (38), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8), keluar rumah tanpa alasan munasabah (dua) dan lain-lain (11).

Sumber: My Metro