PKPD di Taman Guru dua minggu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, di sini, selama dua minggu bermula hari ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Peningkatan Kluster Gambang menjadi faktor PKPD dilaksanakan di taman perumahan berkenaan yang menempatkan 1,500 hingga 2,500 penduduk membabitkan kawasan yang berkeluasan kira-kira 3.5 kilometer.

Semalam Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, seramai 58 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terbabit dengan pemeriksaan di laluan utama keluar masuk di taman perumahan itu.

Katanya, kawalan dilakukan selama 24 jam membabitkan tiga pusat pemeriksaan bagi mengawal pergerakan penduduk.

Sementara itu, penduduk, Shahran Amrin Abdullah, 50, berkata, tindakan kerajaan melaksanakan PKPD di Taman Guru suatu keputusan yang bijak dalam memastikan tidak berlaku penularan wabak Covid-19.

Katanya, dia akur dengan keputusan itu demi kebaikan bersama kerana tidak mustahil penularan terus berlaku sekiranya PKPD tidak dilaksanakan.

“Saya agak terkilan kerana sebelum ini masyarakat di sini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun disebabkan sikap degil segelintir individu tidak mematuhi SOP akhirnya Taman Guru berada dalam PKPD,” katanya.

Sumber: My Metro