KOTA BHARU, 7 Mei – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Khas Gelanggang Seni di sini yang bakal dibuka tiga hari lagi dilengkapi dengan ciri-ciri khas seperti katil klinikal, cardiac monitor dan bekalan oksigen mudah alih sekali gus merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.
Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata PKRC yang kelapan di negeri itu, boleh menempatkan 130 pesakit kategori satu dan dua yang berisiko atau pesakit mendapat komplikasi awal COVID-19.
“PKRC ini mempunyai 50 katil dua tingkat untuk pesakit wanita serta 30 katil klinikal (campur lelaki dan wanita) dan akan menjadi sebagai ‘bridging’ antara pesakit dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Ia akan menempatkan pesakit muda dan berusia yang memerlukan rawatan khas, namun sekiranya pesakit memerlukan rawatan lanjut mereka akan dipindahkan segera ke HRPZ II yang terletak hanya 1.5 kilometer,” katanya selepas meninjau persiapan awal PKRC Khas Gelanggang Seni, di sini hari ini.
Beliau berkata PKRC berkenaan dilengkapi dengan semua peralatan itu bagi memudahkan urusan petugas untuk mengendalikan kes-kes kritikal terutama melibatkan pesakit berusia 60 hingga 70 tahun.
Sementara itu, Dr Azman berkata menjelang Aidilfitri, petugas Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) berdepan satu lagi cabaran baharu apabila ada dalam kalangan pesakit yang positif enggan pergi ke PKRC atau hospital kerana ingin menyambut hari raya bersama keluarga.
SUMBER: Bernama