PASIR MAS – Kerajaan Kelantan menyediakan Subsidi Rumah Sewa sebanyak RM300 selama enam bulan kepada mangsa banjir termenung di kawasan yang terkesan akibat Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata setakat ini 58 keluarga sudah dikenali pasti dari Kampung Gual To’Deh, Kampung Tersang dan Kampung Lachang di Rantau Panjang, Pasir Mas, yang bakal menerima manfaat tersebut.
“Pemilihan penerima subsidi ini dilakukan melalui tapisan ketua kampung serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli Parlimen berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Subsidi ini diberi selama enam bulan ketika musim tengkujuh berlaku pada setiap tahun bermula 2023 hingga 2026,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Kunci 10 Rumah ‘Home2Live’ di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang di sini hari ini.
Ahmad berkata subsidi itu diberikan bertujuan membolehkan penerima menyewa kediaman lain yang bebas banjir selama enam bulan sebelum kembali ke kediaman masing-masing.
“Kita amat prihatin dengan nasib keluarga yang terlibat banjir akibat projek PLSB dan saya berharap bantuan yang diberikan ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Terdahulu, Ahmad menyerahkan 10 kunci rumah ‘Home2Live’ kepada penerima asnaf di Rantau Panjang yang disumbangkan Muslim Care Malaysia Society dengan peruntukan berjumlah RM600,000.
“Kesemua rumah berkenaan dibina serentak bermula Oktober tahun lepas dan siap sepenuhnya pada Januari sebelum diserahkan kunci kepada penerima iaitu dalam kalangan asnaf termasuk mangsa kebakaran.
“Pemilihan penerima rumah ‘Home2Live’ dilakukan dengan kerjasama pejabat DUN dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang,” katanya.
— BERNAMA