PUTRAJAYA – Dalam usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan penglibatan serta kerjasama pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diperhebatkan.
Beliau berkata ia adalah penting untuk memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti mismatch (salah padan) atau latihan yang tidak diperlukan oleh industri serta kemudahan yang tidak memuaskan.
“Saya mengusulkan supaya ada langkah segera, kita ada kajian dan jawatankuasa untuk mempastikan anak-anak dilatih dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Anwar mencadangkan syarikat swasta atau GLC mengambil alih institusi TVET atau institut latihan contohnya di Pengerang, Johor boleh diambil alih oleh Petronas untuk melatih, mengurus dan menggunakan kepakaran yang memenuhi keperluan Petronas, DRB-Hicom di Pekan, Pahang dalam bidang automobil manakala kumpulan Sunway dan Berjaya untuk latihan perhotelan, pelancongan dan perkhidmatan umum.
Selain itu, kelompok daripada syarikat perniagaan yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga boleh mengambil sebahagian TVET atau institut latihan, katanya.
Anwar berkata jawatankuasa Kabinet berkaitan TVET akan mengambil langkah-langkah tambahan termasuk mengenal pasti syarikat swasta yang boleh membantu usaha kerajaan.
“Ini satu keputusan yang besar dan kita minta tindakan diambil segera dan selainnya kita akan jelaskan dalam belanjawan (semakan semula Belanjawan 2023) pada 24 Feb ini,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Menurutnya, peruntukan TVET mengikut belanjawan tahun lepas adalah RM6.7 bilion merangkumi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi serta 500 institut kemahiran latihan awam dengan pelatih atau pelajar sekitar 250,000 orang.
Beliau berkata usaha memperkasakan TVET juga melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan antaranya Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan GIATMARA.
Sumber : BERNAMA