KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada jam 3.49 petang tadi.
Ketibaan Perdana Menteri yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard berwarna putih disambut hampir 100 pengamal media yang berkampung di hadapan pintu utama Istana Negara seawal jam 7.30 pagi tadi.
Sesi Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini mendapat perhatian berikutan spekulasi mengatakan beliau akan memohon pembubaran Parlimen daripada baginda bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ismail Sabri juga dijangka turut membincangkan mengenai Bajet 2023 dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, sebelum belanjawan negara itu dibentangkan di Dewan Rakyat petang esok.
Khabar angin mengatakan Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan tahun ini.
Berdasarkan keputusan UMNO itu, ramai pihak berpandangan Parlimen perlu dibubar awal atau pertengahan bulan ini, kerana PRU-15 berisiko diadakan pada musim tengkujuh dan banjir jika ia dibubarkan lebih lewat dari tempoh itu.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di Pintu Utama Istana Negara dengan menaiki kenderaan Toyota Camry berwarna hitam untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sekitar jam 2.15 petang tadi.
Sumber : BERITA HARIAN