KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi dan pelakon terkenal Adibah Noor, yang meninggal dunia malam tadi.
Ismail Sabri menerusi hantaran di laman Instagramnya turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah dalam industri lakonan serta pengacaraan.
“Takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan didoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Adibah Noor,” tulis beliau.
Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.
Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.
Sumber: AWANI