PM Yakin Sasaran 3 Juta Pelancong ke Terengganu Dapat Dicapai Tahun ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Perkembangan pembangunan sektor pelancongan di Terengganu yang terkenal dengan keunikan makanan serta kaya dengan budaya diyakini mampu menarik tiga juta pelancong dalam dan luar negara seperti disasarkan kerajaan negeri tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keistimewaan yang ada pada Terengganu pastinya akan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

“Saya amat berbangga dengan pembangunan sektor pelancongan di negeri Terengganu (dan) dengan pelbagai tarikan pelancongan yang unik termasuk Jambatan Angkat yang pernah dinobatkan sebagai ikon pelancongan terbaik pada 2019, saya yakin Kerajaan Negeri Terengganu mampu mencapai sasarannya.

“Sepertimana kempen `Beautiful Terengganu’ yang giat dipromosi kerajaan negeri, kita dapat lihat sendiri keunikan dan kecantikan Negeri Terengganu.

“Jadi marilah kita pakat mari ke Terengganu – negeri cantik, budaya menarik, orangnya pula baik-baik belaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 yang dihadiri 70 ribu pengunjung di Dataran Drawbridge di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM