Pochettino berang Chelsea terlalu ‘lembut’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
NEWCASTLE, England: Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino melabel pasukannya sebagai “lembut” selepas kekalahan 4-1 di tangan Newcastle awal pagi tadi mencetus kemarahan warga Argentina itu.

The Blues kelihatan berjaya mengubah nasib mereka dalam musim pertama kendalian Pochettino dengan kemenangan 4-1 di Tottenham sebelum seri 4-4 dengan juara Manchester City sebelum rehat tugasan antarabangsa.

Namun pelawat tumbang pada separuh masa kedua di St James’ Park ketika Newcastle mengatasi krisis kecederaan yang menyaksikan pengendalinya Eddie Howe kehilangan khidmat 13 pemain pasukan utama.

“Kami perlu datang ke sini, Chelsea, untuk menunjukkan sukar buat mereka untuk bermain, untuk memenangi perlawanan dan untuk mengalahkan kami,” kata Pochettino, yang menonton perlawanan dari kawasan penonton susulan penggantungan.

“Namun ia terlalu mudah dengan cara kami melepaskan gol dan dengan cara kami terlalu lembut dalam setiap cabaran. Kami tidak menunjukkan kami bermain bagi sesuatu yang penting.

“Itulah yang menyebabkan saya marah dan kecewa. Kami bercakap mengenai satu pasukan muda dan kami perlu belajar, tetapi saya fikir perlawanan sebegini menyebabkan saya terlalu marah kerana ia mengenai personaliti dan karakter anda.”

Kekalahan itu menyebabkan Chelsea merudum ke tangga ke-10 liga di sebalik berbelanja lebih £1 bilion (RM5.9 bilion) terhadap pemain baharu dalam tempoh kurang dua tahun di bawah pemilikan konsortium diketuai Todd Boehly.

Raheem Sterling memadam gol awal Alexander Isak untuk mengikat kedudukan 1-1 ketika rehat.

Namun Chelsea tumbang selepas rehat ketika dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Jamaal Lascelles dan Joelinton meletakkan Newcastle dalam keadaan selesa.

Kapten Chelsea, Reece James kemudian dibuang padang kerana layangan kad kuning kedua sebelum Antony Gordon menambah kepedihan Pochettino dengan gol lewat permainan. – AFP

Sumber: Berita Harian