Pochettino Bos Baharu Chelsea

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Chelsea mengesahkan pelantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu selepas bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Paris Saint-Germain (PSG) itu menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun lagi.

Pochettino, 51, akan mengambil alih tugas daripada pengurus sementara, Frank Lampard bermula 1 Julai ini.

Chelsea menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan ke-12 musim lalu.

“Mauricio adalah jurulatih berkelas dunia dengan rekod prestasi yang cemerlang. Kami semua tidak sabar untuk dia menyertai kelab,” kata pemilik Chelsea dalam satu kenyataan, hari ini.

Pochettino yang gemar menerapkan corak permainan menyerang mula membina reputasinya ketika membawa barisan pemain muda Southampton mengakhiri saingan Liga Perdana di kedudukan kelapan dalam musim penuh pertamanya di England sebelum menyertai Spurs pada 2014.

Pengurus itu diberi tugas untuk mengembalikan kegemilangan skuad The Blues.

Kelab London itu menjuarai Liga Juara-Juara pada 2021 tetapi mengakhiri musim ini tanpa sebarang gelaran dan menjadi pencapaian terburuk mereka sejak kempen 1993/1994 – apabila mereka menamatkan saingan di tangga ke-14 di bawah kendalian Glenn Hoddle – biarpun pemilik baharu dari Amerika Syarikat membuat pelaburan besar ke atas pemain.

Pochettino adalah pengurus tetap Chelsea ketiga sejak dijual pada 2022 kepada konsortium yang diketuai oleh pemilik sebahagian LA Dodgers, Todd Boehly dan disokong oleh Clearlake Capital, sebuah firma ekuiti persendirian.

– BERITA HARIAN