KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan di semua bazar Ramadan di Kelantan bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat pemantauan di bazar Ramadan.
Katanya, pemantauan ini akan dibuat oleh pihak polis yang akan memakai pakaian seragam dan juga berpakaian biasa.
“Ia untuk memastikan semua yang ada di bazar Ramadan mengikut SOP termasuk memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.”
“Bagi bazar Ramadan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri atau PBT, kita sudah sedia maklum dan meminta penganjur bazar individu supaya memberitahu pihak polis untuk membuat pemantauan.”
“Kita minta orang ramai supaya mengelakkan berkunjung ke bazar Ramadan yang sesak bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Kubang Kerian di sini, hari ini.
Shafien berkata, pemantauan polis ini seiring dengan hasrat kerajaan bagi memastikan semua rakyat patuh kepada SOP.
“Apa yang penting kita hendak pastikan rakyat kita selamat dan dijauhi daripada COVID-19 serta dapat menjalani ibadah puasa dengan selamat,” tambah beliau.
Sementara itu, Shafien berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Logistik Bukit Aman memberi peruntukan sebanyak RM600,000 iaitu masing-masing RM300,000 untuk membaik pulih pagar keselamatan serta pejabat pertanyaan serta RM300,000 untuk baik pulih pejabat Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM Kelantan yang terletak di Balai Polis Kubang Kerian.
Sumber: BERITA HARIAN