Jeli: Polis menutup dua lorong tikus di Kampung Jerek dan Kampung Lawang, kedua-duanya terletak di Batu Melintang, di sini, yang sering digunakan sebagai laluan haram untuk merentas negeri ke Kelantan dan aktiviti penyeludupan.
Ketua Polis Jeli DSP Ahmad Ariffin berkata, laluan berkenaan ditutup menggunakan penghadang jalan konkrit, bagi mengelakkannya dari terus dijadikan laluan untuk aktiviti tersebut.
“Kedua-dua laluan tikus tersebut yang terletak berdekatan Jalan Raya Timur Barat, sering digunakan untuk memasuki negeri ini secara haram sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Selain menutup menggunakan penghadang konkrit, kita turut membuat sekatan jalan raya (SJR) serta menempatkan anggota anggota polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), bagi memastikan tiada pelanggaran rentas negeri serta aktiviti penyeludupan,” katanya semasa meninjau SJR di Jalan Timur Barat berhampiran Batu 6, Batu Melintang, di sini, hari ini.
Sementara itu Ahmad berkata, sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu, jumlah kenderaan keluar masuk menggunakan Jalan Raya Timur Barat berkurangan.
“Sepanjang tempoh itu sebanyak 400 kenderaan direkodkan keluar masuk, yang hanya melibatkan urusan perdagangan bekalan makanan, terutama ayam dan ikan.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan sepanjang sekatan pergerakan penuh ini, yang dilanjutkan sehingga 28 Jun depan,” katanya.
Sumber: My Metro