Polis Kelantan Siap Siaga Pembukaan Sempadan Negara 1 April Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Polis Kelantan bersiap siaga menguatkuasakan peraturan ketat khususnya di pintu sempadan negara jiran, apabila sempadan negara dibuka pada 1 April nanti.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata polis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM) juga akan meningkatkan rondaan di kawasan strategik yang sering dijadikan sebagai pangkalan haram.

“Berdasarkan data, ada sebanyak 93 pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan aktif dan dengan pembukaan sempadan ini, dijangkakan kemungkinan pangkalan-pangkalan itu juga turut aktif kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Funride sempena Sambutan Hari Polis ke 215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand sebagai jalan keluar masuk.

“Pada peringkat awal kawalan ketat akan dilakukan kerana kita bimbang kemungkinan ada pihak tertentu yang ingin rentas sempadan secara haram,” katanya.

Justeru katanya orang ramai diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan kerana pemeriksaan ketat pihak berkuasa akan sentiasa dikuatkuasakan di pintu sempadan negara.

Sumber: BERNAMA