Polis Kelantan-Thailand Kerjasama Siasat Kes Penyeludup Diesel Cuba Tembak Anggota Kastam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Polis Kelantan dan Thailand bekerjasama menjalankan siasatan berkait tindakan penyeludup petrol dan diesel yang melepaskan tembakan ke arah sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pok Mat di Kampung Simpangan, Tumpat pada Rabu.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kerjasama tersebut bagi mengesan suspek terlibat.

“Kita akan pastikan satu siasatan teliti dilakukan kerana ia melibatkan dua negara.

“Kita mahukan satu rumusan hasil siasatan yang jelas berkait kes berkenaan,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, susulan itu polis terus mempertingkatkan kawalan di sempadan bagi memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik.

Beliau juga akan memanggil angensi penguat kuasa di sempadan untuk menyelaraskan operasi bagi memastikan bantuan dapat diberikan jika berlaku kecemasan.

Muhamad Zaki memberitahu, walaupun agensi penguat kuasa mempunyai operasi masing-masing namun kerjasama kukuh mampu membuahkan hasil yang baik.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penyeludup minyak diesel, petrol melepaskan tiga das tembakan ke arah sepasukan anggota JKDM yang cuba mematahkan aktiviti penyeludupan di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pok Mat di Kampung Simpangan, Tumpat.

Kejadian berlaku pada jam 9.45 pagi ketika lima anggota penguat kuasa JKDM sedang menjalankan rondaan air di sekitar Kampung Simpangan.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, setiba di kawasan itu anggota bertugas telah melihat 15 buah bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti pemunggahan yang dipercayai mengandungi minyak petrol dan diesel. -Sinar Harian