Polis Kesan Pemandu Mengamuk Selepas Nahas 4WD – Motosikal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SERDANG – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Jalan Besar Seri Kembangan berhadapan kedai Machinery Trading pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, seorang lelaki yang mendakwa sebagai mangsa telah membuat laporan polis selepas suspek mengasarinya berikutan berlaku kemalangan jalan raya di antara mereka.

Menurutnya, suspek bertindak memukul cermin helmet milik mangsa sehingga retak semasa sedang berbincang untuk menyelesaikan kemalangan tersebut.

“Pada Khamis sekitar jam 4.50 petang, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 telah terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda jenis berwarna putih.

“Mangsa kemudiannya menghentikan motosikal tetapi pemandu terbabit mengundurkan kenderaannya dan melanggar motosikal sehingga menyebabkan motosikal milik mangsa terperosok masuk di bawah kenderaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Anbalangan memberitahu, seorang saksi yang turut berada di tempat kejadian telah merakam kejadian tersebut menerusi rakaman video ‘dashcam’ milik saksi tersebut.

“Suspek berbadan besar tinggi dan mempunyai tatu. Rakaman percakapan mangsa dirakamkan dan mendapati mangsa tidak mengenali suspek,” katanya.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Pihaknya juga akan mendapat pengesahan hospital sekiranya mangsa mengalami kecederaan dalaman.

“Siasatan akan diteruskan selepas ‘order to investigate’ (OTI) diperoleh,” jelasnya.

Sumber: ASTRO AWANI