Polis KL saran penduduk semak maklumat dengan pegawai bertugas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Polis meminta mereka yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyemak dan mendapatkan maklumat dengan pegawai bertugas di kawasan PKPD atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) masing-masing sekiranya timbul sebarang masalah atau kekeliruan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis menasihatkan mereka berbuat demikian bertujuan mengelakkan daripada penduduk PKPD mendapat maklumat tidak tepat.

“Polis Kuala Lumpur ingin menekankan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) khusus PKPD di Kuala Lumpur yang membenarkan penduduk keluar dari kawasan berkaitan atas sebab yang membabitkan sektor keselamatan, kesihatan, kecemasan serta kebajikan.

“Selain itu, penduduk PKPD yang mempunyai janji temu vaksinasi juga dibenarkan keluar ke PPV bagi tujuan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata, bagaimanapun penduduk di kawasan PKPD yang dipakaikan gelang pink dan menunggu keputusan ujian saringan tidak dibenarkan keluar untuk urusan vaksinasi.

“Polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber: My Metro