Polis nafi Empangan Pergau pecah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jeli: Polis menafikan Empangan Hidroelektrik Pergau yang terletak di daerah ini pecah susulan hujan lebat semalam, seperti yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pihak pengurusan empangan berkenaan memaklumkan bahawa kejadian itu tidak berlaku.

“Tiada setakat ini… kami telah sahkan dengan pihak pengurusan empangan berkenaan. Sekiranya ada kejadian seperti empangan pecah atau air melimpah dan sebagainya, sudah tentu siren amaran akan dibunyikan terlebih dahulu.

“Paras air di Empangan Hidroelektrik Pergau berada pada paras normal walaupun semalam hujan di kawasan itu dan kami hanya mendapat maklumat hanya paras air Sungai Pergau berdekatan empangan itu sedikit naik namun masih pada paras normal,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular satu mesej menerusi WhatsApp yang mendakwa empangan air itu pecah serta siren amaran telah dibunyikan di kawasan berkenaan.

Sumber: My Metro