Polis nafi halang pelanggan masuk pusat beli-belah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan anggotanya menyekat individu tidak lengkap vaksinasi untuk masuk ke sebuah pusat beli-belah di Jalan Maarof, Bangsar di sini seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata polis bantuan yang ditugaskan membuat kawalan keselamatan di lokasi itu sudah memberi penjelasan dan menafikan pembabitan anggota polis dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ada kemungkinan pelanggan terbabit tersilap membuat tafsiran terhadap penjelasan polis bantuan itu berkaitan perubahan prosedur operasi standard (SOP) diumumkan kerajaan.

“Kami terkesan dengan satu kenyataan dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa polis menyekat masuk individu tidak lengkap dua dos vaksin atau tidak cukup tempoh 14 hari selepas vaksin dos kedua ke dalam premis perniagaan.

“Kejadian itu berlaku di sebuah pusat beli-belah pada tarikh dan masa yang tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Basri mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana dikhuatiri mewujudkan kegusaran awam.

Sumber: Berita Harian