Kuantan: Polis Pahang menafikan kematian pegawai berpangkat Asisten Komisioner yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang pada 3 April lalu, akibat kesan pengambilan vaksin Covid-19.
Ketuanya, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dakwaan punca kematian pegawai berusia 56 tahun itu yang tular di media sosial tidak benar.
Katanya, doktor Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang merawat arwah mengesah punca kematian kerana serangan jantung.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan di media sosial.
“Ia bagi menghormati perasaan keluarga dan waris Allahyarham yang masih bersedih selepas kehilangan orang yang disayangi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada 3 April lalu, Allahyarham disahkan meninggal dunia di HTAA akibat sakit jantung, namun tular di media sosial bahawa kematiannya dikatakan selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Sumber: My Metro