Polis Pantau Pelancong Di Pulau Tioman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROMPIN – Polis menjangkakan kemasukan pelancong ke Pulau Tioman meningkat dua kali ganda pada minggu hadapan susulan cuti am dan hujung minggu.

Cuti sempena perayaan Deepavali pada 4 November dan diikuti cuti hujung minggu, Sabtu dan Ahad memberi peluang pelancong bercuti ke pulau ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, setelah melakukukan, pihaknya mendapati kebanyakan hotel dan tempat penginapan di pulau peranginan berkenaan sudah mula menerima tempahan yang begitu menggalakkan.

Menurutnya, pelancong yang ingin ke Pulau Tioman perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu di jeti Teluk Gading yang dikendalikan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin sebelum dibenarkan menaiki feri.

“Anggota polis kini ditempatkan di jeti berkenaan bagi mengawal keadaan. Ia juga untuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pelancong dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP sepanjang berada di Pulau Tioman dan anggota polis akan sentiasa membuat pemantauan di tempat awam,” katanya.

Pengurusan perkhidmatan feri menambah jumlah perjalanan daripada sekali sehari kepada dua kali sehari. Ini bertujuan untuk menampung kemasukan pelancong ke Pulau Tioman yang semakin bertambah.

Sumber: MY METRO