Kuala Lumpur: Polis sudah merakam keterangan seorang instafamous yang didakwa merentas negeri untuk berbulan madu bersama suami di sebuah pusat peranginan di Johor Bahru, seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pasangan berusia 20-an itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam, selepas dipanggil untuk memberi keterangan,
Beliau berkata, berdasarkan semakan suami yang juga seorang ahli perniagaan membuat permohonan rentas negeri untuk urusan perniagaan di Balai Polis Wangsa Maju, pada 2 petang, 15 Mac lalu.
“Pemohon mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh pihak syarikat. Berdasarkan dokumen itu, permohonan rentas negeri diluluskan untuk 17 hingga 20 Mac.
“Pada Jumaat lalu, mereka memuat naik gambar di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan dan tular di media sosial sehingga mendapat kecaman oleh netizen termasuk ada yang mempersoalkan kebenaran rentas negeri diberikan polis kepada pasangan itu untuk tujuan berbulan madu.
“Susulan isu berkenaan, pasangan itu dipanggil memberi keterangan di IPD Wangsa Maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan keterangan, Ashari berkata, pasangan itu mengesahkan menginap di sebuah resort di Johor sepanjang urusan perniagaan dan mengemukakan bukti serta resit tempat penginapan.
Katanya, mereka juga mengaku ada memuat naik gambar di Instagram milik isteri yang bersifat peribadi tetapi ditularkan di Twitter.
Justeru, beliau menasihati orang ramai yang mendapat kelulusan rentas negeri supaya berhati-hati dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri dikeluarkan oleh polis.
Tambah beliau, sekiranya terdapat individu yang menyalahgunakan kebenaran itu maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu terbabit.
Sumber: My Metro